Sejarah baharu tercipta apabila
Terengganu melaksanakan hukuman sebat syariah di luar penjara di
sebalik bantahan sebilangan kecil kumpulan tertentu.
Hukuman ini dikatakan bukan hanya bertujuan
menghukum pesalah tetapi sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan
prinsip maqasid syariah.
Pelaksanaan terbuka ini bertujuan memberi
pengajaran kepada orang ramai agar memahami hikmah di sebalik undang-undang
syariah.
Biarpun terdapat bantahan daripada pelbagai
pihak, namun kerajaan negeri tetap komited melaksanakan hukuman ini. Langkah
itu bertujuan untuk memperkasa undang-undang syariah, yang selama ini hanya
dilaksanakan di penjara.
Pada 27 Dis 2024, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali
sebatan di khalayak ramai di Dewan Aasim, Masjid al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Affendi, berpakaian penjara tiba di dewan A'asim, diiringi pegawai Jabatan Penjara Marang, jam 2.28 petang. Sebaik tiba, Affendi yang bergari dibawa masuk ke bilik khas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selama kira-kira 20 minit.
Sebelum hukuman sebat dilakukan, tertuduh dibawa bertemu pegawai penjara, pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pegawai kesihatan di penjuru lokasi sebatan dalam dewan. Affendi mengangguk faham ketika pemakluman hukuman disampaikan oleh pegawai penjara.
Hukuman enam sebatan bermula jam 2.50 petang dan selesai jam 2.52 petang. Selepas selesai menjalani sebatan, Affendi yang memakai pelitup muka sekali lagi dibawa masuk ke bilik khas dalam dewan untuk pemeriksaan kesihatan. Beliau yang bergari dibawa keluar daripada dewan A'asim menaiki kenderaan penjara, jam 3.01 minit.
Hukuman sebat Affendi turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail dan 70 pemerhati termasuk wartawan.
No comments:
Post a Comment