Perang Mutah berlaku tahun 629 Masihi (8
Hijrah). Mutah sebuah kampung paling dekat dengan wilayah Balqa di Syam. Jarak antara Mutah dengan Baitulmuqqadis hanya dua marhalah sahaja.
Punca tercetusnya perang ialah apabila al-Harith bin Umair
al-Azdiy yang merupakan utusan Rasulullah SAW untuk menyampaikan surat kepada
pemerintah Busra telah dibunuh.
Rasulullah SAW lalu menyiapkan satu pasukan tentera untuk menghadapi Syurahbil yang
menjadi pemimpin pihak musuh.
Baginda melantik tiga orang panglima iaitu Zaid bin Harithah
sebagai penglima utama. Jaafal ibn Abi Thalib sebagai timbalan dan Abdullah ibn
Rawahan sebagai pembantu.
Rasulullah SAW berpesan supaya
pergi ke tempat pembunuhan al-Harith dan mengajak penduduk di sana
supaya memeluk Islam. Jika mereka menerima ajakan itu, hendaklah mereka
dibiarkan dan jika sebaliknya, maka mohonlah pertolongan Allah dan perangilah
mereka.
Dalam perjalanan menuju medan perang, tentera Islam mendapat
maklumat bahawa musuh yang akan ditentang berjumlah 100,000 orang, jauh
lebih besar berbanding 3000 orang di pihak Islam.
Pada peringkat awal, tentera Islam ingin menghatar utusan
untuk memaklumkan tentang jumlah tentera musuh kepada Rasulullah SAW dan ingin
mendapat keputusan daripada baginda sama ada meneruskan perang atau berundur.
Namun, apabila perbincangan mendalam di kalangan tentera
Islam, mereka mengambil keputusan meneruskan perang tanpa perkara itu dirujuk
kepada Rasulullah SAW. Mereka tidak gentar dengan jumlah musuh yang banyak.
Pertempuran berlaku di Karak, yang kini terletak di dalam
negara Jordan. Zaid bin Harithah memegang bendera sambil bertempur dengan
hebat. Beliau menampilkan kejaguhan yang tiada bandingnya. Beliau terus
berjuang sehingga terperosok tusukan lembing-lembing musuh, dan akhirnya gugur.
Jaafar bin Abu Talib lalu mengambil
bendera pasukan dan terus berjuang dengan hebatnya. Beliau terus bertempur sehingga terputus
tangan kanannya.
Beliau mencapai bendera dengan tangan kirinya dan terus
berjuang sehingga tangan kirinya pula putus; lalu, dikendongnya bendera dengan
kedua-dua lengannya. Sehingga saat Jaafar terbunuh, beliau masih lagi
mengangkat bendera pasukan Islam.
Apabila Jaafar terbunuh, bendera diambil pula oleh Abdullah
bin Rawwahah. Beliau maju ke hadapan sambil menunggang kudanya. Beliau berjuang
sehinggalah syahid.
Apabila Abdullah terbunuh, tampillah seorang lelaki dari
Bani Ajlan bernama Thabit bin Arqam lalu mengambil bendera pasukan sebagai
penglima buat seketika. Lalu beliau berkata: “Hai, sekalian orang Islam!
Lantiklah seorang untuk menjadi ketua!”
Mereka menjawab, “Kamulah ketua!”
tetapi Thabit berkata, “Aku tidak layak.” Lalu, mereka melantik Khalid bin
al-Walid.
Selepas perlantikannya, Khalid bertindak menyusun strategi menyelamatkan tentera Islam. Beliau tahu amat sukar untuk melepaskan
diri dari cengkaman tentera Rom jika mereka menyedari keadaan sebenar
tentera Islam dan tentulah akan membuat serangan pantas dan mengejar mereka.
Justeru, apabila masuk hari kedua peperangan, Khalid mengubah posisi barisan tentera Islam. Disusunnya semula kedudukan di
mana barisan hadapan diletakkan di belakang, dan sayap kanan diletakkan di
sebelah kiri dan sebaliknya.
Lantaran itu, apabila tentera Rom melihat barisan
baharu yang dibentuk itu, mereka terpinga-pinga dan percaya pasukan Islam telah mendapat bantuan. Maka, timbullah ketakutan dalam diri mereka.
Selepas bertempur
sebentar, Khalid membawa pasukannya berundur sedikit demi sedikit tanpa
mengubah kedudukan tenteranya.
Tentera Rom pula tidak mengejar kerana menyangka tentera Islam mempunyai strategi untuk memerangkap mereka. Tanpa dikejar, tentera
Islam berjaya berundur dengan selamat sehingga sampai ke Madinah.
Dalam peperangan ini, tentera Islam yang gugur syahid ialah
seramai 12 orang, sementara di pihak tentera Rom pula tidak diketahui angka kematian.
Gambar - Masjid Ja'afar Abu Talib, tempat terletaknya makam
sahabat yang syahid masa Perang Mutah.
No comments:
Post a Comment