Kepelbagaian budaya dan warna hidup, pasti
meluaskan pandangan dan pengalaman. Banyak iktibar yang boleh didapati apabila
kita berpeluang melihat manusia pelbagai bangsa, bertukar fikiran dan
pengalaman dengan saudara kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan
kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai
bangsa dan kabilah, adalah untuk saling berkenalan. Sesungguhnya yang lebih
mulia di kalangan kamu ialah orang yang lebih bertakwa.” (Surah al-Hujurat,
ayat 13).
Marilah dalam usaha kita membina kembali ummah, mulakan kehidupan baharu dalam
hubungan sesama Islam. Kita menghormati sesama Islam dan menghidupkan kembali
suasana persaudaraan di kalangan orang tua, ibu bapa menghormati anak dan anak
menghormati ibu bapa.
Bagi umat Islam, perkenalan yang diikat oleh tali persaudaraan mesti dijalinkan
dan dikukuhkan sehingga mampu bekerjasama. Bekerjasama menjayakan kebaikan,
memenuhi keperluan hidup, menjayakan bangsa untuk memelihara maruah, bangsa dan
agama.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan bekerjasamalah untuk kebaikan dan
ketakwaan dan janganlah bekerjasama untuk melakukan dosa dan permusuhan."
(Surah al-Maidah, ayat 2).
Peliharalah lidah daripada mengeluarkan kata-kata cemar dan kotor terhadap
sesama Islam, sama ada kawan, teman, anak, isteri atau kepada sesiapa saja.
Inilah akhlak Islam dan marilah kita menghayatinya sepenuh hati.
Perjuangan membina ummah perlu kerjasama daripada setiap anggota ummah. Kerana
itu kita mesti mengenali mereka, mencari jalan untuk berkenalan dan diikuti
dengan usaha mendapat kerjasama serta sokongan mereka.
Jauhkan kerja yang merenggangkan kita dengan ummah. Mereka adalah saudara dan
sahabat kita. Dapatkan kerjasama semua pihak untuk menjayakan niat suci membina
kembali umat dan bangsa yang dikasihi. Niat suci yang besar ini, jika mendapat
kerjasama semua pihak akan dapat diterjemahkan menjadi kenyataan.
Ingatlah bahawa usaha membina ummah, berjalan atas asas persaudaraan, kasih
sayang, kesungguhan dan pergantungan dengan seluruh anggota ummah adalah berkat
sokongan semua pihak. Justeru, kerja yang berat akan menjadi ringan dan yang
susah akan menjadi mudah.
Kerjasama adalah sebahagian fenomena persaudaraan yang hendak ditegakkan Islam
di kalangan umatnya. Kerjasama itu, jika diteruskan dengan penuh kejujuran dan
keikhlasan, akan berkembang mencapai tahap tadhamun iaitu ikatan setia kawan
antara umat Islam.
Inilah yang perlu dicapai masyarakat Islam seperti dirakamkan melalui sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang beriman di dalam
kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika
sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam
dan demam." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).
No comments:
Post a Comment